Feb 5, 2008

Google kritik cadangan Microsoft beli Yahoo!

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Syarikat enjin carian Internet terbesar dunia, Google Inc. telah menuduh syarikat gergasi teknologi maklumat global, Microsoft Corp. menggunakan cadangan pengambilan alih Yahoo Inc. bernilai AS$42 bilion (RM135 bilion) sebagai langkah untuk mengawal Internet secara ‘tidak sah’ apabila dua pesaing rapatnya itu bergabung.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan hari ini menerusi laman web rasmi Google, Ketua Pegawai Undang-undangnya, David Drummond berkata, pembidaan pengambilan alihan Yahoo oleh Microsoft yang dibuat secara mendadak itu, telah menimbulkan pelbagai persoalan.

“Ini bukan merupakan transaksi kewangan biasa pengambilan alih sesebuah syarikat. Ia lebih merupakan pemeliharaan prinsip-prinsip asas Internet: keterbukaan dan inovasi.

“Sekarang, bolehkah Microsoft mencuba langkah sama yang ‘tidak sah’ untuk menguasai Internet, sama seperti yang telah dilakukannya terhadap komputer peribadi (PC)?” katanya.

Menurut beliau, Internet menyediakan persaingan sengit menerusi inovasi, namun Microsoft seringkali mahu memonopoli kepentingan dan kemudiannya menggunakan penguasaannya bagi meneroka ke pasaran-pasaran baru.

Kenyataan Drummond yang mewakili pandangan Google itu merupakan reaksi kepada cadangan pembidaan pengambilan alih Yahoo! oleh Microsoft yang disiarkan pada Jumaat lalu.

Agensi berita Associated Press (AP) melaporkan, kebimbangan Google itu bukan perkara yang mengejutkan kerana Microsoft melihat Yahoo sebagai senjata penting untuk menguasai pasaran enjin carian dan pengiklanan yang ketika ini dikuasai oleh Google.

Microsoft cuba bergabung dengan Yahoo bagi menarik minat pengiklan dan pengguna kerana kedua-kedua syarikat itu dilihat mampu bersaing secara efektif dengan Google, jika ia disatukan, lapor AP.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails