Mar 21, 2008

Sebasu, Paya Redan dinaik taraf ke tahap GDW

MUAR 20 Mac – Kampung Sebasu dan Paya Redan yang terletak dalam mukim Pagoh dekat sini, bakal menerima limpahan pembangunan menyeluruh tidak lama lagi apabila bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi mencapai tahap Gerakan Daya Wawasan (GDW) yang dilaksanakan kerajaan.

Meskipun dilanda banjir pada akhir tahun 2006 sehingga menyebabkan lebih 600 penduduk dua kampung itu terpaksa dipindahkan namun pemilihan dua buah kampung itu dibuat berdasarkan kepadatan penduduk serta perumahan masyarakat di kawasan itu yang sesuai untuk dimajukan.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Jaffar berkata, program GDW di dua kampung itu adalah lanjutan daripada Gerakan Desa Wawasan yang ditubuhkan oleh Kementerian Luar Bandar pada tahun 1972 bagi membangunkan kawasan kampung di seluruh negara.

“Dalam Mesyuarat Tindakan Daerah baru-baru ini, kesemua 11 mukim di daerah ini dipilih untuk dinaik taraf manakala bagi kampung-kampung yang belum mencapai tahap GDW, maka mereka boleh mencadangkannya untuk dimajukan.

“Dua buah kampung yang dicadangkan oleh Penghulu Mukim Jorak dan Pagoh, iaitu Kampung Sebasu dan Paya Redan akan dibangunkan untuk mencapai tahap GDW tidak lama lagi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, terdapat sebanyak 94 kampung di daerah Muar yang mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan daripada jumlah tersebut hanya 30 peratus daripadanya berada dalam gred GDW mengikut penilaian Kemajuan Masyarakat (Kemas) Johor.

Daripada 30 peratus kampung GDW itu pula, katanya, hanya tiga buah kampung mendapat tahap gred A untuk program GDW iaitu Kampung Parit Bugis, Kampung Sarang Buaya dan Kampung Temiang.

Tambah beliau, baki kampung-kampung GDW lain itu hanya memiliki tahap penilaian gred B dan C dan untuk itu, sasaran jumlah kampung di seluruh Muar yang memperoleh tahap GDW akan ditingkatkan.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Kampung Paya Redan dan Kampung Sebasu hari ini mendapati usaha menaik taraf beberapa kemudahan asas di kampung tersebut sedang giat dilaksanakan.

Antara kerja-kerja itu ialah naik taraf jalan masuk utama ke kampung itu yang membabitkan kerja-kerja melebarkan jalan serta baik pulih sistem perparitan di kawasan tersebut.

Selain itu, penduduk di kedua-dua kampung itu turut menghiasi bahu jalan di kawasan kediaman mereka untuk dimajukan termasuk dengan tanaman komersial seperti sayur-sayuran, makanan, ubat-ubatan dan landskap.

Penghulu Mukim Jorak dan Pagoh, Samad Jehat, 51, ketika ditemui berkata, penduduk Kampung Paya Redan terdiri daripada 1,200 orang manakala di Kampung Sebasu pula, terdapat seramai 990 orang penduduk yang bakal menerima limpahan pembangunan di kawasan itu melalui GDW.

Apa yang diharapkan melalui usaha naik taraf itu, katanya, ialah selain kemudahan asas yang sedia ada, pihaknya meminta supaya sebuah dewan serbaguna dibina di kampung tersebut.

“Ketika banjir dahulu, rata-rata penduduk terpaksa dipindahkan di Dewan Serbaguna Pagoh kerana kampung ini tidak mempunyai kemudahan tersebut,’’ katanya.

Ketua Kampung Sebasu, Jumaat Kosnan, 49, pula berkata, pemilihan kampung itu untuk menyertai program GDW disebabkan beliau ingin menyahut cabaran kampung itu untuk mencapai tahap GDW sebagaimana yang dipilih oleh Penghulu Mukim.

“Sebagai ketua yang baru berkhidmat lebih setahun di kawasan ini, saya ingin membawa pembaharuan kepada kampung ini dan ia sudah menjadi azam saya,’’ katanya.

Selain itu, kata beliau, jumlah komuniti di kampung itu yang tersusun membolehkan pembangunan masyarakat dan minda penduduk di kawasan itu dilaksanakan.

kredit oleh Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails